Selasa, 17 Desember 2013

Felda Derma RM140 000 Kepada Mangsa Taufan


KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menyampaikan sumbangan berjumlah RM140,000 kepada mangsa taufan Haiyan yang melanda Filipina pada 8 November lalu.

Sumbangan berbentuk wang tunai dan pelbagai barangan makanan serta alatan itu disalurkan melalui Tabung Bencana Taufan Haiyan Media Prima-NSTP dan diserahkan oleh Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kepada Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat Kumpulan Media Prima Datuk Ahmad A. Talib, dalam majlis ringkas di Menara Felda di sini, hari ini.

Mohd Isa dalam ucapannya berkata sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan warga Felda terhadap mangsa taufan tersebut.

Sumbangan ini diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh mangsa dan juga kerajaan Filipina, katanya.

Sementara itu Ahmad dalam sidang media kemudian, menyeru badan-badan korporat mencontohi Felda yang aktif memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

“Sehingga semalam Tabung Bencana Taufan Haiyan Media Prima-NSTP berjaya mengumpul kira-kira RM80,000, ini menunjukkan rakyat Malaysia merupakan rakyat yang prihatin dan suka membantu,” katanya. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar