Komputer yang sedia ada untuk digunakan memang dimanfaatkan habis-habisan oleh saya. Seperti biasa, saya melayari laman Facebook pada hari ini. Jenguk notification, page-page menarik serta groups yang bermanfaat. Dan seperti biasa, saya melihat status kawan-kawan di Facebook, tekan ‘Like’ dan sebagainya. Tiba-tiba…
…saya jadi termenung sendirian di hadapan komputer. Iyalah, melihat satu status daripada seorang sahabat (padahal tak pernah tegur pun) membuatkan saya terpana seketika. Statusnya berbunyi begini:
”Setitik air mata perempuan yang jatuh kerana lelaki yang disayanginya, lelaki itu akan disebat dengan tulang rusuk perempuan sebanyak 100 kali di akhirat kelak. Maka janganlah kamu wahai kaum lelaki membuatkan perempuan menangis keranamu.”
Laras bahasanya bagai teks yang terdapat dalam kitab atau buku agama, tetapi apabila melihat kembali kepada isi kandungan ayat tersebut, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Malah, apabila dirujuk siapa penulis asalnya pun tidak diketemukan. Hal ini saya kira penting, terutamanya apabila melibatkan soal hukuman sebat 100 kali di akhirat.
Pentingnya penelitian
Bukan hendak menyalahkan seratus peratus kepada insan yang menyebarkan, tetapi harus ‘kita’ sebagai penyebar, mengambil berat atas setiap perkara yang hendak di’share’ dan dikongsikan, supaya maklumat yang sampai itu kita yakini kebenarannya.
Sikap yang MESTI ada pada setiap Muslim adalah sentiasa memastikan setiap berita, khabar, cerita dan maklumat yang sampai kepadanya itu benar-benar berlaku. Perkara ini penting bagi mengelakkan AKIBAT yang akan datang setelah berita itu tersebar luas seperti fitnah dan tindakan serta maklum balas yang salah:
“Aku ada something nak habaq kat hang nih.”
”Apa dia? ”
”Hang tau dak blablabla….”
Ok, dengar dan siasat!
Ada baiknya kita meneliti ayat Al-Quran ini;
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.”
(Surah al-Hujurat 49: Ayat 6)
(Surah al-Hujurat 49: Ayat 6)
Bercakap tentang hal mengambil berat ‘amanah’ yang perlu dipikul dalam membawa sesuatu perkhabaran, mari kita lihat dari segi ilmu hadis. Terdapat satu bidang atau cabang ilmu yang penting dalam menentukan status perawi (penyampai) hadis iaitu Jarh wa ta’dil. Ilmu ini penting untuk mengetahui kedudukan sesuatu hadis dan dengannya, dapat menjaga kesahihan agama Allah dan Sunnah Nabi daripada sebarang tindakan menyeleweng dan sebagainya.
Kriteria yang ditetapkan oleh ulama untuk menerima kesaksian seorang perawi sangat ketat dan mustahil untuk disangkal. Seharusnya, dalam menilai sesuatu cerita juga, kita perlu melihat kepada ‘siapa’ yang menyampaikannya. Adakah dia ini seorang yang pelupa? Adakah dia ini seorang yang tidak boleh dipercayai?
[sumber]
0 komentar:
Posting Komentar